Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Shah Alam: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tidak ada keretakan membabitkan parti yang membentuk kerajaan walaupun wujud afidavit difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan titah tambahan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri turut menyifatkan suara yang ada berkait isu itu tidak mewakili kepimpinan parti.

"Setakat ini, belum ada petanda keretakan kecil sekalipun antara Pakatan Harapan (PH), Umno-BN dan (parti) Sabah Sarawak.

"Yang ada hanya gerombolan desperado yang cuba adu domba. Saya bagi tahu kepada mereka, goodluck and goodbye, it will not work (semoga berjaya dan selamat tinggal, ia tidak akan berjaya). Bagi saya, setakat ini kerajaan masih mantap," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Konvensyen 25 tahun Parti Keadilan Rakyat di IDCC Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah
PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Konvensyen 25 tahun Parti Keadilan Rakyat di IDCC Shah Alam. FOTO Asyraf Hamzah

Ahmad Zahid sebelum ini memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April mendakwa melihat perintah tambahan untuk Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui beliau juga turut diserang berkait afidavit yang difailkan oleh Ahmad Zahid.

"Saya turut diserang. Saya tidak tahu apa masalahnya. Saya jawab ini menyinggung peranan Lembaga Pengampunan dan titah Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Anwar berkata, pihaknya juga tidak memadamkan laporan, keputusan dan meringankan keputusan dibuat oleh hakim.

"Tetapi cara yang kita lakukan itu tidak disenangi oleh sesetengah pihak dalam parti sekutu kita atau dalam kalangan orang lain di luar," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pendirian dibuat oleh kerajaan pimpinannya adalah tuntas dan segala keputusan perlu dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

"Dan keputusan muktamad Yang di-Pertuan Agong dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 2:02 PM