PASUKAN bomba mengangkat mayat mangsa kemalangan di Bukit Kelawat, Jalan Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba mengangkat mayat mangsa kemalangan di Bukit Kelawat, Jalan Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Belud: Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan di Bukit Kelawat, Jalan Kota Belud, di sini, malam ini.

Mangsa Khaysar Abdul, 28, dan isteri Siti Emma Ernani Asmada, 28, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 7.42 malam.

Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud diketuai Suffian Aban digerakkan ke tempat kejadian sejauh 16 kilometer dari balai.

"Kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Wira dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Revo. Terdapat dua mangsa tersepit dalam Proton Wira.

"Kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Pemandu dan penumpang Toyota Revo dilaporkan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 10:59 PM