Pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraikan ketua pengarang media tempatan dalam majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar, Kuala Lumpur semalam. FOTO ihsan TNB
Pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraikan ketua pengarang media tempatan dalam majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar, Kuala Lumpur semalam. FOTO ihsan TNB
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bagi menghargai peranan media sebagai penyampai maklumat, pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraikan ketua pengarang dan pengarang kanan media tempatan dalam majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar, di sini, semalam.

Menerusi kenyataannya hari ini, TNB berkata barisan pengurusan TNB yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan beramah mesra dan meraikan lebih 30 pengarang daripada organisasi media yang hadir.

"Media dengan peranannya sebagai penyampai maklumat dan lidah masyarakat memerlukan TNB, begitu juga sebaliknya TNB melalui media dapat menghebahkan pemakluman kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, media sekian lama membantu TNB untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai perkhidmatan elektrik negara bermula sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB) pada 1949, diikuti Lembaga Letrik Negara (LLN) pada tahun 1965 dan akhirnya menjadi TNB (1990).

Menuju masa depan, kata Megat Jalaluddin, TNB sudah merencanakan pelan mengurangkan pelepasan karbon dalam aspirasinya untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

"TNB sebagai Penggerak Kemajuan Negara sejak sekian lama, mendukung inisiatif kerajaan dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi menjana tenaga lebih bersih dalam usaha mengukuh komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG)," katanya.

Di bawah NETR, TNB sudah diamanahkan sebagai peneraju projek Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS), serta pembakaran bersama hidrogen dan ammonia, yang kesemuanya penting untuk memajukan agenda hijau negara sambil memupuk pertumbuhan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 1:05 PM