ILUSTRASI artis untuk projek Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS) di Sungai Perak.
ILUSTRASI artis untuk projek Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS) di Sungai Perak.

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini memulakan projek fotovoltan (PV) Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS) di bawah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) di tasik empangan hidronya.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din berkata, syarikat komited untuk melaksanakan projek PV HHFS selepas kejayaan projek perintisnya di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak.

"Dalam usaha negara bergerak ke arah masa depan berkarbon rendah dan kelestarian alam, TNB, melalui TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), bercadang untuk melaksanakan projek pembangunan PV HHFS dengan kapasiti 2,500 megawatt (MW).

"Inisiatif peralihan tenaga ini bertanggungjawab dalam menyediakan solusi tenaga lestari dengan impak ekologi yang positif," katanya dalam kenyataan.

Syarikat merancang untuk mempercepat pelaksanaan HHFS dengan kapasiti 2,500MW, bermula dengan 30MW di Empangan Hidro Chenderoh (Perak), diikuti dengan lokasi di Empangan Hidro Temenggor (Perak) dan Kenyir (Terengganu).

"Ladang solar terapung boleh melengkapkan sumber tenaga boleh baharu lain untuk membekalkan tenaga kepada grid kebangsaan dengan potensi untuk meningkatkan tenaga bersih secara ketara," katanya.

Menurutnya, TNB telah menandatangani kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Terengganu Incorporated untuk memastikan pembangunan HHFS dilaksanakan dengan berjaya dan bertanggungjawab.

Sejak 2019, solar terapung PV TNB di kolam abu seluas 175 hektar di SJSAS telah menjana lebih 600 MWh tenaga.

Terdapat 288 modul PV solar yang telah dipasang dengan kapasiti sebanyak 105.12kWp, setara dengan pengurangan karbon dioksida (CO2) sebanyak 390 tan selama empat tahun beroperasi atau penyerapan CO2 oleh 15,624 pokok.

Tenaga elektrik yang dihasilkan oleh sistem ini mampu memenuhi keperluan tenaga bagi 30 rumah.

Baharin berkata, dengan menggunakan air untuk pepasangan solar, TNB boleh menjimatkan penggunaan tanah, mengekalkan habitat semula jadi, mengurangkan pengewapan air, mengurangkan pencemaran dan menyokong biodiversiti dengan kadar gangguan yang minimum kepada ekosistem akuatik.

Berbeza dengan loji janakuasa termal, ladang solar terapung tidak menghasilkan buangan air atau udara yang boleh memberi kesan negatif kepada kualiti persekitaran (air atau udara), katanya.

"Secara keseluruhannya, ia mencerminkan integrasi harmoni penjanaan tenaga boleh baharu dengan pemuliharaan alam sekitar.

"Perancangan teliti dan penilaian impak alam sekitar merupakan aspek penting dalam memastikan integrasi yang lestari untuk pepasangan ini dalam ekosistem air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 7:00 AM