UPM menikmati penjimatan bil elektrik RM114 juta untuk tempoh 25 tahun selepas pemasangan sistem solar.
UPM menikmati penjimatan bil elektrik RM114 juta untuk tempoh 25 tahun selepas pemasangan sistem solar.

TENAGA Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui pemasangan sistem solar PV yang meluaskan lagi ciri kelestarian institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

Melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE), GSPARX memasang sistem solar di 16 tapak merangkumi pelbagai bangunan termasuk masjid, bumbung parkir serta projek solar terapung iaitu Hidroponik-Aquavoltaic Bersepadu Skala Besar Pertama bagi penyelidikan dan pembangunan modal insan, sekali gus menjadikan ia projek solar terbesar di IPTA.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, kerjasama GSPARX-UPM itu antara manifestasi sokongan penuh TNB terhadap agenda kerajaan untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan karbon, melalui komitmen hala tuju kelestarian TNB ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

"Di samping melaksanakan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan menjadi sebahagian daripada inisiatif menangani perubahan iklim, ia selaras aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan," katanya pada majlis menandatangani SARE di UPM, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan mewakili GSPARX sebagai Pelabur PV Solar Berdaftar dan Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman menandatangani perjanjian itu.

Melalui pemasangan sistem solar berkapasiti 16.18MWp di 16 lokasi sekitar UPM itu, universiti berkenaan bakal menikmati penjimatan bil elektrik RM114 juta selama 25 tahun.

Kerja pemasangan panel solar dijangka siap Julai depan.

Pemasangan panel solar di UPM itu mampu mengurangkan 14,655 tan metrik karbon dioksida setahun.

Ia bersamaan pembebasan asap 3,187 kenderaan setahun atau penyerapan karbon dioksida oleh 242,320 batang pokok dalam tempoh 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 6:15 AM