GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan kuota Tarif Elektrik Hijau (GET) akan bertambah dan diberikan secara setahun pada 2023.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata ia adalah berikutan permintaan tinggi pada tahun ini di mana kuota yang ditetapkan telah dipenuhi dalam masa beberapa bulan sahaja.

"Semua kuota yang dijana melalui hidro dan juga Program Large Scale Solar (LSS) telah diambil. Kita lancar pada Januari dan pertengahan Mac, kuota itu telahpun dipenuhi oleh pelanggan.

"Bagi tahun 2023, kita menjangkakan kuota diberikan secara setahun dan jumlahnya juga akan bertambah, disebabkan sekarang kita sedang membina LSS dan boleh mula beroperasi tahun depan. Jadi kita mempunyai peluang untuk memberikan GET kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas majlis inisiatif hijau SP Setia Bhd bersama TNB, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai tambahan kuota yang bakal ditawarkan bagi tahun 2023 itu.

Namun, katanya, beliau yakin GET mampu memperoleh permintaan 50 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang ditawarkan pada tahun ini.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata kerjasama antara TNB dan pemaju hartanah SP Setia dalam inisiatif hijau tersebut adalah bertujuan untuk mencapai objektif amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau berkata ia terdiri daripada tiga fokus utama iaitu pemasangan panel tenaga solar di bumbung premis hartanah SP Setia, menyediakan pengecas kenderaan elektronik (EV) di perumahan syarikat tersebut dan kombinasi tenaga solar dan bateri kepada pelanggan SP Setia dan TNB.

"Jadi ini merupakan satu penyelesaian kepada pengguna TNB dan SP Setia di mana mereka boleh menjana elektrik sendiri di bumbung rumah dan dapat pengecas EV yang telah tersedia di rumah yang dibangunkan SP Setia.

"Kita juga jangkakan pasaran bagi bateri akan menjadi kompetitif di mana pengguna boleh memasang bateri di bangunan komersial dan perumahan. Apabila bateri digabungkan dengan penjanaan solar pada siang hari, ia merupakan satu kombinasi yang amat berguna," katanya.

Menurutnya, daripada pemasangan yang telah dilaksanakan bagi penggunaan domestik, TNB mendapati pelanggan telah mencapai penjimatan bulanan antara 20 hingga 50 peratus manakala pengguna komersial pula mencapai penjimatan bil elektrik di premis masing-masing antara purata 20 hingga 30 peratus.

Megat Jalaluddin berkata selepas kerjasama dengan SP Setia itu, TNB turut menarik minat beberapa pemaju hartanah lain untuk berkolaborasi dan kini sedang dalam perbincangan dengan tiga syarikat pemaju hartanah.

Mengenai harapan TNB bagi Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Okt depan, beliau berkata TNB sudah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan.

"Cadangan tersebut adalah memfokuskan kepada tenaga hijau selari dengan hasrat kerajaan melancarkan Dasar Tenaga Negara yang mana intipatinya berhubung dengan inisiatif tenaga hijau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 5:40 PM