MINUMAN keras tanpa cukai dirampas dalam serbuan Op Khas Aidilfitri di Tamparuli. FOTO Ihsan PPM
MINUMAN keras tanpa cukai dirampas dalam serbuan Op Khas Aidilfitri di Tamparuli. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 166 karton minuman keras yang dipercayai diseludup dalam serbuan terhadap sebuah rumah di Taman Semaju, Tamparuli di sini, semalam.

Dalam serbuan pada 3 petang itu, semua minuman keras yang disyaki tidak bercukai pelbagai jenama berkenaan dianggarkan bernilai RM27,148.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, Op Khas Aidilfitri berkenaan dilancarkan berdasarkan maklumat awam.

Menurutnya, hasil intipan selama dua jam, pasukan operasi terus menyerbu rumah berkenaan dan menemui 166 karton minuman keras pelbagai jenama.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemui longgokan minuman keras pelbagai jenis yang disyaki tidak bercukai.

"Antara jenama minuman keras yang ditemui ialah Sea Pearl (60 karton), Anchor (50 karton), Chal'als Draught Biru (40 karton) dan Chal's Draught Hijau (16 karton)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad berkata, tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan ketika serbuan, rumah berkenaan ditinggalkan dalam keadaan pagar tidak bertutup dan pintu kaca rumah juga tidak berkunci.

Katanya, pihaknya juga menunggu lebih dua jam di rumah berkenaan namun tiada pemilik yang tampil menuntut semua barangan berkenaan.

"Pasukan operasi terus merampas semua barangan berkenaan untuk siasatan mengikut Akta Kastam.

"Semua minuman itu dibawa ke Pejabat PPM Kota Kinabalu untuk laporan polis dan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 3:27 PM