WAN Rosdy
WAN Rosdy
Asrol Awang


Kuantan: Jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting di Jalan Persekutuan (FT421), di sini, bakal dibuka bermula 8 pagi esok.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan bersama bersetuju pembukaan jejambat itu perlu disegerakan.

Menurutnya, ia bagi memudahkan rakyat Malaysia terutama penduduk Pahang untuk menggunakan jejambat itu sebagai laluan alternatif.

"Ia sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas akibat pertambahan jumlah kenderaan terutama pada waktu puncak dan cuti umum serta menjadikan masa perjalanan lebih singkat.

"Projek pembinaan jejambat ini adalah kesinambungan kepada projek pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan yang menghubungkan bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur yang kini dikenali sebagai Jambatan Putra, di mana ia dibuka secara rasmi pada 21 Februari 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu berkata, pihaknya berharap dengan siapnya jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang awam, khususnya kepada penduduk sekitar.

"Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya amat komited dalam membangunkan lanskap infrastruktur awam negara demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat," katanya.

Pembinaan Jambatan Putra sepanjang 1.85 kilometer disiapkan secara Siap Berbahagian pada 25 September 2020 merangkumi jambatan baharu sepanjang 451 meter merentasi Sungai Kuantan dengan kos projek bernilai RM161.4 juta.

Manakala, projek jejambat dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting adalah skop kerja tambahan bagi projek pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan menghubungkan Bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 4:06 PM