Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Projek menaiktaraf jambatan merentasi Sungai Kerian dan membina jejambat merentasi persimpangan jalan persekutuan ke Jalan Transkrian Seberang Perai Selatan, di sini yang mengalami sedikit kelewatan dijangka siap pada 2 Februari 2025.

Apabila siap kelak ia akan membantu penyuraian trafik dari Pulau Pinang ke Perak, menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak dan mengatasi masalah banjir kilat di kawasan berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang menelan belanja RM209 juta itu lewat sebanyak enam peratus iaitu 45 hari dari tarikh asal memandangkan perlu menyelesaikan isu berkaitan pengambilan balik tanah sebuah rumah ibadat.

Katanya, tarikh siap kerja asal adalah pada 7 Julai 2024 selepas pemilikan tapak diperoleh pada 8 Julai 2021.

"Di sini (projek siap) bukan mengalami kelewatan yang terlalu teruk. Masalah pengambilan tanah yang berlaku sudah selesai dengan pemegang taruh dan berharap ia dapat diselesaikan juga dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat " katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan projek berkenaan, di sini, hari ini.

NANTA meninjau projek Menaik Taraf Jambatan FT001/724/5 Merentasi Sungai Kerian dan Pembinaan Jejambat Merentasi Persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian di Nibong Tebal. FOTO Danial Saad.
NANTA meninjau projek Menaik Taraf Jambatan FT001/724/5 Merentasi Sungai Kerian dan Pembinaan Jejambat Merentasi Persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian di Nibong Tebal. FOTO Danial Saad.

Nanta berkata, skop utama projek itu membabitkan kerja menaiktaraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala dengan piawaian U5 sepanjang 1.35 kilometer (km) di Jalan Transkrian serta membina sebuah jejambat di persimpangan (USM FT001) dan satu jambatan baru di Sungai Kerian.

"Projek ini bakal membantu dalam penyuraian trafik sebahagian dari Pulau Pinang ke Perak, menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak dan mengatasi masalah banjir kilat.

"Ia sekali gus menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna laluan terbabit," katanya.

Sebelum itu, Nanta mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Operasi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) bagi mendengar taklimat berkenaan operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS).

Menurutnya, LLM Wilayah Utara memainkan peranan dalam mengawal selia 57 lokasi persimpangan bertingkat, 12 lokasi kawasan Rehat dan Rawat (R&R), 23 lokasi hentian sebelah dan enam lebuh raya sepanjang 522.2km.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:14 PM