Baharom Bakar


Jertih: Kerajaan pusat meluluskan peruntukan kira-kira RM60 juta untuk pembinaan jejambat sejauh dua kilometer bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bandar Jertih, Besut.

Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata, projek pembinaan jejambat dua lorong itu akan menghubungkan jambatan sungai Besut yang sedia ada.

Katanya, projek pembinaan jejambat itu antara keutamaan diberi tumpuan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Peruntukan untuk pembinaan jejambat itu sudah diluluskan dan projek akan dilaksanakan selepas pelan reka bentuk yang kini di peringkat akhir kajian diluluskan," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis Jamuan Aidilfitri di sini, hari ini.

Nawi yang juga Ketua Umno bahagian Besut berkata, pembinaan jejambat itu sepatutnya sudah dilaksanakan pada awal 2019, tetapi dibatalkan selepas Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

POLIS trafik mengawal lalu lintas di atas Jambatan Sungai Besut, Jertih, hari ini. FOTO Baharom Bakar.
POLIS trafik mengawal lalu lintas di atas Jambatan Sungai Besut, Jertih, hari ini. FOTO Baharom Bakar.

"Kita sudah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan bersetuju agar projek itu diteruskan," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Jambatan Sungai Besut di bandar Jertih mendapati berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk sejauh kira-kira enam kilometer bermula daripada sempadan Kelantan-Terengganu di Kampung Bukit Yong hingga ke Kampung Jabi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 10:51 PM