Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah di Menara Kinabalu. FOTO Paul Mu
Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah di Menara Kinabalu. FOTO Paul Mu
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kemarau yang berlarutan di negeri ini sejak Februari lalu menyebabkan seramai 58,080 ketua isi rumah (KIR) dari 355 kampung di 12 daerah di Sabah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Penduduk terkesan membabitkan daerah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

Berikutan itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan pihak dipertanggungjawabkan supaya melaksanakan segera pengagihan air kepada semua keluarga terjejas.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.5 juta bagi menampung kos penghantaran bekalan air dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah yang terjejas sudah mula melaksanakan penghantaran air kepada penduduk bagi mengurangkan masalah dihadapi," katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah di Menara Kinabalu, di sini, tadi.

Hadir sama Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.

Hajiji berkata, kebanyakan loji rawatan air di Sabah ketika ini turut berdepan kekurangan sumber air mentah disebabkan air di kawasan tadahan semakin kering kesan kemarau.

"Dijangka lebih banyak kawasan akan terjejas jika keadaan berterusan. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering dilakukan esok (hari ini) hingga 30 Mac ini.

"Operasi pembenihan awan dilakukan berdasarkan ramalan keadaan awan di atmosfera yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan.

"Kos operasi akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal," katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di seluruh negeri, memusnahkan kawasan seluas kira-kira 3,800 hektar, termasuk 3.4 hektar kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, dekat sini yang belum dapat dibendung sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 2:49 PM