YANG Dipertua IKRAM Kawasan Batu, Wan Mohd Zukri Che Mat Zain (berdiri) pada program Cabaran Satu Hari Puasa Bagi Individu Bukan Islam. FOTO Genes Gulitah.
YANG Dipertua IKRAM Kawasan Batu, Wan Mohd Zukri Che Mat Zain (berdiri) pada program Cabaran Satu Hari Puasa Bagi Individu Bukan Islam. FOTO Genes Gulitah.
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: "Berpuasa mengajar saya lebih produktif. Saya sibukkan diri dengan kerja sekolah dan aktiviti bersama keluarga untuk tidak rasa lapar," kata remaja perempuan berusia 16 tahun yang kali pertama berpuasa di bulan Ramadan.

Remaja beragama Hindu itu antara dua peserta Cabaran Satu Hari Puasa Bagi Bukan Islam anjuran IKRAM Kawasan Batu & Hidayah Centre Foundation Batu.

Dia yang mahu dikenali Vivy mengakui teruja apabila dapat menjalani ibadah puasa bersama kakaknya yang sudah memeluk Islam sejak tiga tahun lalu.

"Sebelum ini saya hanya lihat kakak berpuasa dan timbul persoalan bagaimana dia melaluinya, lalu saya beritahu kakak untuk mencuba.

"Pagi tadi saya bersahur bersama kakak dan hanya makan roti. Walaupun sikit tapi saya tidak rasa lapar, malah lebih seronok dan produktif," katanya ketika ditemui Harian Metro pada Majlis Iftar Ramadan di Masjid Saidina Hamzah, hari ini.

Vivy yang berjaya melengkapkan cabaran terbabit berkata, dia mahu meneruskan ibadah puasa selepas ini selain mendalami agama Islam.

Katanya, dia meminati Islam selepas melihat kehidupan kakak dan mengakui wanita itu menjadi inspirasinya dan banyak memberi tunjuk ajar.

Seorang lagi peserta, Yap Siew Ching, 60, berkata, dia menyahut cabaran berpuasa selepas mengetahui program itu daripada anak perempuannya yang juga mualaf.

Ibu kepada empat anak itu berkata, sebelum ini dia menyangka orang Islam hanya tidak makan daging ketika berpuasa tetapi masih boleh makan sayur serta minum.

"Ternyata sangkaan saya meleset apabila anak beritahu saya perlu menahan lapar dan dahaga sehingga tiba waktu berbuka.

"Sekarang baru saya faham apa itu puasa. Hari pertama berpuasa ini sangat mencabar dan saya pun tidak tahan tapi sangat gembira apabila dapat habiskan," katanya.

Katanya, ibadah puasa itu memberinya keinsafan dan membuka mata mengenai kesusahan golongan miskin yang tidak dapat makan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 9:48 PM