TIGA anggota bomba BBP Alor Setar berbuka di dalam jentera bomba. FOTO Zuliaty Zulkifli.
TIGA anggota bomba BBP Alor Setar berbuka di dalam jentera bomba. FOTO Zuliaty Zulkifli.
Zuliaty Zulkiffli


BERBUKA puasa dengan meneguk air mineral dalam jentera sudah menjadi lumrah buat anggota bomba setiap kali menyambut Ramadan.

Walaupun sudah menghidang makanan di atas meja untuk makan bersama rakan-rakan seperjuangan namun kes kecemasan biasanya kerap berlaku ketika waktu hendak berbuka puasa.

Bagi Pegawai Bomba, Ahmad Fadzali Murad, 53, berkata, baginya makan dalam keadaan 'tidak selesa' sudah lali baginya sejak berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lebih 20 tahun lalu.

"Selalunya ketika sedang menunggu azan Maghrib, ketika itulah kami menerima panggilan kecemasan rumah terbakar dan kami terus menerpa ke jentera untuk menyelesaikan tugasan dahulu.

"Biasanya kami akan membawa sekotak kurma dan mineral siap-siap dan menjamahnya dalam jentera asalkan perut terisi walaupun lapar," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, semalam.

Namun bagi rakannya, Mohamad Harries Ismadi, 25, pengalaman kali pertama berpuasa sebagai anggota bomba amat mencabar buatnya kerana baru tiga bulan berkhidmat dalam JBPM.

Katanya, ini ditambah dengan pula dengan penularan wabak Covid-19 di negara ini selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

"Ini kali pertama saya berjauhan dengan keluarga di Perak kerana setiap tahun kami berbuka puasa bersama, tahun ini terpaksa membuat panggilan video untuk bertanya khabar sebagai pengubat rindu.

"Saya pula bertugas mengikut syif dan tidak dapat meluangkan masa makan bersama dengan isteri, Nurul Hidayah Abu Bakar, 24, yang kini hamil anak kedua dan anak sulung yang kini berusia 16 bulan," katanya.

Mohamad Harries berkata, bertugas pada bulan puasa lebih mencabar kerana cuaca tidak menentu dan panas terik pada waktu tengah hari menyebabkan dia terpaksa bersabar menahan lapar dan dahaga.

Katanya, panggilan kecemasan pula tidak menentu dan mereka terpaksa bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran untuk membantu masyarakat.

"Letih memang letih, tapi baru sekarang saya tahu cabaran anggota bomba amat perit terutama ketika bulan puasa namun saya akan melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, lebih 700 anggotanya termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di 19 BBP di negeri ini menjalankan tugas seperti biasa walaupun di bulan puasa.

Beliau berkata, ketika ini cuaca tidak menentu dan biasa hujan lebat dan ribut kerap berlaku pada sebelah petang menyebabkan kejadian pokok tumbang.

"Namun, mereka tetap melaksanakan tugas dan makan dalam keadaan tidak sempurna seperti orang lain di rumah dan itu cabaran yang perlu diharungi anggota bomba.

"Selain itu, operasi sanitasi nyah cemar untuk Covid-19 juga diteruskan di lokasi yang sudah ditetapkan untuk membendung penularan wabak ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 11:44 AM