AERIL ZAFREL
AERIL ZAFREL
Ramlah Zainal


SUDAH hampir seminggu umat Islam menunaikan ibadat puasa.

Sempena bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini, ramai selebriti terkenal tanah air memilih berehat seketika daripada aktiviti seni masing-masing dan memberi tumpuan kepada ibadat puasa.

Bagi yang sudah berkeluarga, inilah masanya mereka meluangkan masa berkualiti untuk berbuka, bersahur dan menunaikan solat Tarawih bersama.

Tidak kurang juga menggunakan peluang berehat di rumah untuk mendidik anak yang masih kecil untuk berpuasa.

Rata-rata selebriti yang ditemu bual mengakui walau sesibuk mana pun mengatur karier seni, mereka tidak mengabaikan tanggung jawab mendidik anak berpuasa.

Sebagai ibu bapa, mereka juga percaya anak perlu dididik untuk belajar berpuasa sejak kecil.

Aeril Zafrel (Pelakon)

“Alhamdulillah, saya dikurniakan isteri, Wawa Zainal dan dua anak, Ahmad Fakhruddin Attar, 6 dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4 yang mudah mendengar dan menurut berhubung hal ehwal agama.

Sebenarnya saya mula melatih anak untuk berpuasa sejak bulan Syaaban lagi. Dengan cara itu, mereka tidak ada masalah untuk menjalani ibadah puasa pada Ramadan ini.

Anak sulung, Attar sudah mula belajar berpuasa sejak usianya empat tahun lagi manakala Hayla baru belajar berpuasa tahun ini.

Sebagai ibu bapa, kami juga menggalakkan anak untuk bersahur bagi membolehkan kami merasai nikmat bersahur sekeluarga.”

LAYAN anak dengan mesra.
LAYAN anak dengan mesra.

Faezah Elai (Pelakon)

“Sebagai ibu bapa memang kewajipan kita untuk mendidik anak belajar berpuasa sejak kecil. Anak tiri, Luq Adam, 10, sudah mula belajar berpuasa sejak berusia tujuh tahun. Dia juga sudah mula berpuasa penuh pada usianya lapan tahun.

Dua lagi anak iaitu Dealova Heyrinna, 6, dan Aurora Heyrinna, 4, masih kecil lagi dan akan belajar berpuasa apabila sampai masanya nanti.

Saya juga berdepan cabaran untuk mendidik anak belajar berpuasa kerana takut mereka menipu dan makan senyap-senyap dalam bilik. Sebab itu, saya pastikan mereka bangun bersahur supaya mampu bertahan sepanjang hari sehingga waktu berbuka.”

CATRIONA ROSS
CATRIONA ROSS

Catriona Ross (Pelakon)

“Saya sudah mula mendidik anak sulung, Sephia Rania, 9, untuk belajar berpuasa sejak usianya tujuh tahun. Sephia berjaya berpuasa penuh selama dua hari pada usia lapan tahun.

Pastinya, sebagai ibu saya juga berdepan cabaran untuk memastikan anak berjaya berpuasa penuh serta sediakan juadah puasa yang dia suka.

Namun, Sephia kini sudah cukup matang dan memahami kepentingan berpuasa yang bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tapi membabitkan aspek lain.

Sebagai ibu bapa, saya dan suami sangat bangga dengan pengetahuannya mengenai ibadah puasa. Sesibuk mana pun dengan karier seni, sudah menjadi rutin saya mengejutkan anak untuk bersahur. Sephia lebih berselera makan makanan Barat jika waktu bersahur. Suami pula memilih untuk makan nasi dan lauk.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 6:00 AM