SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang menunggu untuk pengisian petrol percuma. FOTO ihsan Yayasan KUIS
SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang menunggu untuk pengisian petrol percuma. FOTO ihsan Yayasan KUIS
Sudirman Mohd Tahir


Bangi: Program 'give back to community' anjuran Yayasan KUIS berjaya memberi manfaat kepada 200 penunggang motosikal menerusi pemberian petrol percuma di kawasan Bandar Seri Putra, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KUIS, Ahmad Fatin Mohamad Suhaimi berkata, program itu sebagai usaha memanfaatkan semula sumbangan komuniti yang menyokong Yayasan KUIS melalui pembayaran zakat, sumbangan wakaf dan infaq.

"Pendekatan 'give back to community' ini adalah sebagai usaha menzahirkan pentingnya sokongan komuniti terhadap usaha kesedaran dan memperkasakan jiwa sebagai pembayar zakat serta penyumbang wakaf dan infaq secara sistematik.

"Yayasan KUIS sangat berbesar hati dengan sokongan komuniti termasuk individu, pertubuhan dalam komuniti, organisasi perniagaan, institusi kewangan dan perbankan yang berterusan mempercayai Yayasan KUIS sebagai sebuah yayasan yang menguruskan kebajikan pelajar melalui zakat, wakaf dan infaq," katanya.

Menurutnya, program itu turut meneladani orang ramai mengenai pentingnya sokongan kepada kelompok yang terjejas dengan kadar kos sara hidup yang kian meningkat.

"Sejak ditubuhkan pada 2011, Yayasan KUIS sudah mengagihkan sumbangan hampir RM9.2 juta melalui zakat, wakaf dan infaq yang diterima daripada pelbagai pihak. Agihan yang diberikan adalah dalam bentuk bantuan yuran pengajian, sagu hati sara hidup, bantuan makanan, bantuan persekolahan, bantuan bencana alam dan pelbagai lagi," katanya.

Program itu dihadiri Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KUIS, Datuk Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Turut serta dalam program itu adalah pemilik stesen Petronas Bandar Seri Putra, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIS, Dr Abdul Razif Zaini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 2:49 PM