ANTARA anak yatim yang diraikan MSU di Almaty, Kazakhstan.
ANTARA anak yatim yang diraikan MSU di Almaty, Kazakhstan.
Ruhaiza Rusmin


Dalam usaha menyemarakkan budaya memberi dan bersyukur dalam kalangan warga kampus dan komuniti, MSU Ihya Ramadhan 2016 mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk di peringkat global.

Penyampaian dan agihan zakat serta iftar dilaksanakan di peringkat global membabitkan negara seperti Kazakhstan, India, Sri Lanka, Vietnam, Indonesia, Myanmar, Syria dan Palestin.

Program ‘GPS Ramadhan: Bangalore Chapter’ menyaksikan pembabitan kira-kira 30 pelajar perubatan MSU dengan kerjasama International Medical Student Association (IMSA) di kampus pesisir antarabangsa MSU di Bangalore, India.

Mereka berkunjung ke Madrasah E- Zubair Awwam, rumah warga emas dan anak yatim Ashiana serta Muslim Orphanage, Dickenson Road.

Peserta menyampaikan bantuan wang zakat bagi pihak Yayasan MSU serta barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya.

Di Almaty, Kazakhstan pula, MSU meraikan anak yatim melalui majlis penyampaian wang zakat dan iftar. Majlis sama turut diadakan di Colombo, Sri Lanka dan Myanmar.

Sumbangan ini adalah acara tradisi MSU bagi mencerminkan komitmen universiti dalam memenuhi tanggungjawab terhadap golongan memerlukan selain menjadi wadah menjayakan pembangunan komuniti.

MSU melalui Yayasan MSU memperuntukkan RM8 juta dalam bentuk sumbangan zakat, biasiswa, tajaan pengajian dan bantuan kewangan serta pelbagai bentuk bantuan lain sepanjang 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:01 AM