Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Urusan pembayaran zakat, wakaf, infaq atau sedekah bukan lagi sukar apabila wujudnya platfrom Tulus Digital yang membantu umat Islam beramal walau di mana sahaja berada.

Tulus Digital yang juga perintis kepada platform kewangan sosial islam digital membolehkan semua umat Islam di 11 negeri melakukan ibadah berkenaan dengan mudah.

Lebih menarik apabila perkhidmatan dalam talian itu mula diperkenalkan pada Ramadan tahun ini.

Melalui perkhidmatan diperkenalkan itu, segala urusan pembayaran zakat, wakaf, infaq atau sedekah boleh disempurnakan pembayarannya hanya di hujung jari.

Pengerusi Eksekutif Tulus Digital, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, selaras dengan visi pendigitalan sektor kewangan sosial Islam, Tulus Digital menyediakan inovasi teknologi yang dipandu Maqasid Al-shariah.

"Aplikasi yang mematuhi syariah ini memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan pembayaran berkaitan amal jariah dengan mudah dan selamat.

"Aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat bagi 11 negeri di Malaysia serta menyasarkan 950,000 pembayar zakat pada Ramadan tahun ini," katanya tadi.

Sementara itu, Tulus Digital dalam kenyataan menyatakan aplikasi ini yang digunakan sejak dua tahun lalu membolehkan pengguna membuat pembayaran secara digital tanpa mengira masa dan lokasi mereka berada.

"Ia menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.

"Tulus menyediakan fasiliti pembayaran beretika melalui aplikasi mudah telefon pintar Tulus bagi memperkasa pembangunan ekonomi dan kesejahteraan ummah merangkumi gaya hidup digital kepada rakyat Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, aplikasi mudah alih Tulus boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store dan Apple iOS Store.

Selain itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara dalam talian.

Tulus Digital menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam menggunakan aplikasi ini sebagai salah satu medium untuk membuat sumbangan dan pembayaran zakat secara digital.

Selain itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang https://tulus.app

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 11:47 PM