Gambar hiasan
Gambar hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Tiga sekeluarga dan seorang pembantu makmal kerugian lebih RM400,000 akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian dan mata wang kripto.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima pulangan seperti dijanjikan sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan seorang peniaga bersama isteri dan adiknya yang kerugian RM285,000 akibat diperdaya individu tidak dikenali untuk melabur wang simpanan dalam pelaburan tidak wujud.

"Mangsa seorang peniaga kelapa sawit berusia 46 tahun mendakwa semasa berada di rumahnya pada 24 April lalu, dia melihat satu iklan pelaburan dengan jaminan pelaburan 20 peratus setiap minggu.

"Dia kemudian berhubung dengan seorang wanita dikenali Annie di talian WhatsAps yang disertakan dalam iklan itu dan tertarik untuk melabur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arshad berkata, mangsa kemudian membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM285,000 yang juga wang hasil simpanan dikumpul bersama isteri dan adiknya ke dalam tiga akaun bank berbeza.

"Mangsa turut diberi kata laluan untuk mendaftar masuk ke laman sesawang suspek dan mula teruja apabila melihat dia sudah menerima pulangan 20 peratus untuk minggu pertama keuntungan pelaburan lalu menambah pelaburan.

"Malangnya selepas itu dia tidak lagi dapat mendaftar masuk ke laman web dan tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan malah wang modalnya lesap," katanya.

Dalam kes berasingan, Arshad berkata, seorang pembantu makmal hospital kerugian RM120,000 akibat ditipu kenalan dalam pelaburan mata wang kripto.

Katanya, wanita berusia 29 tahun itu bertemu suspek yang dikenali dan ditawarkan untuk menyertai satu skim pelaburan Crypto Monspace yang menjanjikan pelaburan lumayan sebelum menyertainya dengan modal RM120,000.

"Siasatan mendapati pada 19 November 2020 semasa di Bank Rakyat Masjid Tanah, mangsa memasukkan wang berjumlah RM85,000 ke dalam akaun bank suspek dan RM35,000 lagi di sebuah bank di Alor Gajahke dalam akaun seorang lelaki lain.

"Namun sehingga kini pengadu mendakwa tiada menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dijanjikan keuntungan lima peratus setiap bulan sebanyak RM4,038 namun dia hanya mendapat pulangan RM12,114 bagi tempoh tiga bulan.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan pada 6 Julai lalu dan kelmarin manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 12:42 PM