KETUA Pengarah Pendidikan, Azman Adnan  ketika sidang media mengumumkan keputusan SPM 2023 di Putrajaya, kelmarin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Pendidikan, Azman Adnan ketika sidang media mengumumkan keputusan SPM 2023 di Putrajaya, kelmarin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada pembimbing sehingga terpengaruh dengan dakyah segelintir pempengaruh media sosial bahawa boleh berjaya dan kaya tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat antara faktor menyumbang kepada statistik lebih 10,000 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, golongan pelajar yang disifatkannya senang terpesong sekiranya tidak mendapat bimbingan sewajarnya, sudah terjebak dengan 'tawaran menarik' kerjaya pempengaruh sebagai satu cara mendapatkan pendapatan tanpa memerlukan sebarang kelulusan.

"Mereka ini nampak jadi pempengaruh boleh buat ulasan produk, tak perlu belajar pun boleh menjana pendapatan, tidak kurang juga ada merasakan mereka tak perlu duduki SPM kerana sudah boleh raih duit poket lumayan dengan menjadi penghantar makanan.

"Jika diikutkan memang rugi apabila persekolahan dari darjah satu hingga tingkatan lima itu berakhir begitu (tidak ambil SPM), namun dari sudut pandang mereka yang tidak minat, tidak cenderung akademik dan tiada bimbingan betul, tempoh itu hanya (sebahagian) masa yang perlu dijalani dalam hayat mereka," katanya kepada Bernama.

Noor Azimah pada masa sama mencadangkan kepada pelajar keciciran SPM supaya memberi penumpuan kepada bidang kemahiran diminati sebagai cabang alternatif mereka dalam mencipta peluang pekerjaan sendiri.

"Ramai yang tidak berkelulusan SPM menyesal kerana gaji diterima tidak boleh naik apabila (kerjaya) mereka meningkat dalam pekerjaan, sebelum ini tidak fikir panjang, sudah rasa pahit maung hidup baru faham semua ini," katanya.

Turut senada Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya Dr Abd Razak Zakaria yang menyifatkan segelintir remaja masa kini bagaikan tidak peduli tentang masa depan kerana merasakan pendidikan di sekolah belum tentu menjamin kehidupan.

"Mereka terpengaruh (kehidupan menerusi media sosial), merasakan kehidupan sudah terlalu selesa dengan apa yang mereka ada, sedangkan jika berjaya mendapat sijil SPM, laluan kerjaya dan masa depan pasti lebih berkualiti dan bermakna.

"Sepatutnya rakyat Malaysia lebih mengejar pendidikan dan menjadikannya sebagai alat untuk membina masa depan yang lebih baik, memacu negara lebih cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya.

Abd Razak berkata, kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memandang serius situasi pelajar gagal menduduki SPM dan tidak mempunyai sijil peperiksaan awam itu dengan menyifatkan ia patut ditangani segera kerana keperluan untuk mendapatkan pekerjaan adalah pengetahuan serta kemahiran.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon pula menggesa KPM agar lebih terperinci dalam mengeluarkan data berkaitan ketidakhadiran pelajar bagi menduduki peperiksaan SPM supaya ia tidak menjadi isu yang dipolemikkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu (tidak hadir) ini boleh berpunca daripada bermacam faktor seperti calon persendirian yang bekerja, calon berhenti sekolah akibat tidak minat atau dibuang sekolah disebabkan masalah disiplin, malah calon sakit atau dimasukkan ke hospital.

"Jadi KPM kena bentang data lengkap, tak boleh lontar jumlah tidak hadir sahaja tanpa sebab dinyatakan, beri data tepat supaya tiada mana-mana pihak dipersalahkan, malah pihak sekolah juga perlu tahu punca tidak hadir dan guru, kaunselor boleh cuba bantu atasi (nanti)," katanya.

Pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2023 Isnin lalu, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata daripada 383,685 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan awam itu, hanya 373,525 calon hadir dengan 93.5 peratus daripadanya layak mendapat sijil SPM.

SPM 2023: Lebih 10,000 calon tak hadir, KPM akan laksana intervensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 7:00 PM