Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim dan Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bukan saja namanya dikenali, malah dikagumi sebagai tokoh perniagaan hingga menyebabkan ramai tertarik untuk melabur di syarikat dimiliki 'figura' terbabit.

Lelaki itu yang juga pemilik sebuah kelab bola sepak tempatan mengiklankan tawaran pelaburan dalam beberapa syarikat miliknya melalui Facebook (FB).

Namun, tujuh individu yang melabur di syarikat berkenaan tampil hari ini dengan mendakwa diperdaya lelaki itu hingga menyebabkan mereka kerugian mencecah RM900,000 apabila tiada pulangan pelaburan dan dividen diberikan sejak dua tahun lalu.

Seorang daripada mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat swasta mendakwa dipanggil menghadiri seminar pelaburan selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan di FB lelaki itu pada 2020.

Lelaki berusia 44 tahun itu mendakwa dijanjikan pulangan sebanyak 50 peratus daripada keuntungan syarikat menyebabkan dia membuat pelaburan di empat syarikat dengan jumlah keseluruhan pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit.

"Selepas setahun melabur, saya terima laporan kewangan syarikat menyatakan rugi. Saya faham apabila melabur memang akan ada untung rugi dan ketika itu pula pandemik.

"Tapi apa yang saya kecewa adalah sehingga kini saya tidak terima sebarang pulangan dan tiada laporan kewangan, laporan audit diberikan serta tiada mesyuarat agung tahunan (AGM) dijalankan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Seorang pensyarah sebuah universiti awam berusia 35 tahun pula mendakwa melabur sebanyak RM100,000 di dua syarikat milik lelaki itu selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan di FB.

"Melihat kredibilitinya sebagai usahawan dan berjaya dalam perniagaan hotel serta restoran, jadi saya yakin untuk melabur di syarikatnya. Saya juga buat carian di internet mengenainya, tiada komen negatif.

"Saya mula melabur pada 2021 tapi sehingga kini tidak dapat apa-apa pulangan. Sebagai pelabur saya ada hak untuk tahu ke mana pelaburan, laporan kewangan dan AGM, tapi bila tanya dia beri pelbagai alasan," katanya.

Tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu, beliau yang berasa ditipu tampil membuat laporan polis pada awal bulan lalu dan berharap siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, seorang peguam, Ainur Rabiatuladawiyah Hassim berkata, pihaknya menerima aduan penipuan pelaburan membabitkan individu sama daripada tujuh mangsa dan sebuah syarikat.

Menurutnya, mangsa mendakwa melabur selepas terpedaya dengan representasi lelaki itu bahawa syarikatnya akan disenaraikan di Bursa Malaysia dan menjadi syarikat senarai awam serta akan mendapat keuntungan tinggi hasil pelaburan itu.

"Kebanyakan pelabur menghadiri sesi taklimat saham khas pra-IPO anjuran lelaki terbabit yang dilakukan secara atas talian atau bersemuka sebelum membuat pelaburan mereka.

"Bagaimanapun, anak guam tidak puas hati apabila lelaki itu dikatakan gagal mengadakan AGM, jumlah saham dicatatkan dalam carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak selari dengan jumlah bayaran dibuat serta tiada maklumat berkaitan perkembangan syarikat.

"Mereka juga tidak menerima laporan kewangan beraudit dan syarikat gagal untuk disenaraikan di Bursa Malaysia mengikut tempoh dijanjikan," katanya.

Berikutan itu, beliau akan mewakili mangsa bagi mengambil tindakan undang-undang dan berharap pihak berkuasa bertindak segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 3:18 PM