FOTO AFP
FOTO AFP
BERNAMA

Singapura: Siasatan awal ke atas insiden gelora udara baru-baru ini membabitkan penerbangan Singapore Airlines SQ321 mendapati perubahan pantas dalam daya graviti (G) yang menyebabkan penurunan altitud, berkemungkinan mengakibatkan kecederaan kepada kru dan penumpang.

Pesawat SQ321 sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura pada Selasa lepas (21 Mei) apabila ia mengalami gelora udara teruk menyebabkan pesawat itu dilencongkan ke Bangkok, Thailand.

Seorang penumpang meninggal dunia dan puluhan lagi cedera akibat insiden itu.

Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) pada Rabu mengeluarkan penemuan siasatan awal oleh Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) mengenai kejadian itu, yang mana TSIB memperoleh data daripada perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR) penerbangan SQ321.

"Siasatan masih dijalankan," kata MOT.

Laporan awal mendapati SQ321 berlepas dari London pada 20 Mei dan penerbangan adalah normal sebelum berlakunya kejadian gelora udara.

Menurut laporan itu, pesawat berkenaan berada di ruang udara selatan Myanmar pada ketinggian 37,000 kaki (11,277 meter) dan kemungkinan terbang di atas kawasan yang sedang berlaku aktiviti perolakan pada jam 07:49:21 (UTC) 21 Mei apabila daya graviti turun naik antara +0.44G dan +1.57G selama kira-kira 19 saat, menyebabkan penerbangan mula mengalami sedikit gegaran.

"Pada jam 07:49:40, pesawat mengalami perubahan G yang mendadak apabila pecutan menegak yang direkodkan merosot dari +1.35G ke -1.5G dalam masa 0.6 saat. Ini kemungkinan menyebabkan penumpang yang tidak memakai tali pinggang keselamatan tercampak.

"Pada jam 07:49:41, pecutan menegak berubah dari -1.5G ke +1.5G dalam masa empat saat. Ini kemungkinan menyebabkan penumpang yang sebelum ini tercampak jatuh semula," kata MOT.

Laporan itu mendapati bahawa pesawat mengalami perubahan G yang cepat selama 4.6 saat, dengan penurunan altitud sebanyak 178 kaki (54.2 m), dari 37,362 kaki (11,387 m) ke 37,184 kaki (11,333 m).

"Rangkaian peristiwa ini kemungkinan menyebabkan kecederaan kepada kru dan penumpang," kata MOT.

Sementara itu, Singapore Airlines dalam satu kenyataan berkata ia mengakui penemuan siasatan awal itu dan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan mengenai insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 7:54 PM