Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku jurucakap Kerajaan Perpaduan bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil selaku jurucakap Kerajaan Perpaduan bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan beberapa pindaan mungkin dilakukan terhadap undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah memberikan maklum balas mengenainya dan Pejabat Peguam Negara turut memberi pandangan dari segi aspek perundangan .

"Parallel Pathway merujuk kepada isu yang membabitkan pertindihan antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada dan ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan perincian mengenai akta berkaitan juga akan dibincangkan minggu depan.

Isu Parallel Pathway, menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.

Untuk rekod, UiTM adalah satu-satunya universiti yang menawarkan program Parallel Pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Pada 27 Mei lalu Zambry dilaporkan berkata isu Parallel Pathway akan diselesaikan dengan kadar segera dan satu rangka cadangan penyelesaian telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diteliti.

Menurut Zambry, perbincangan dengan Kementerian Kesihatan telah diadakan baru-baru ini bagi mencari penyelesaian membabitkan aspek perundangan selain isu berkaitan pengiktirafan terhadap program perubatan yang ditawarkan di universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 8:07 PM