GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa pelaburan yang dibuat oleh syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membawa sebarang keuntungan.

Perkara itu dinyatakan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, 37, ketika menyangkal cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bahawa pelaburan 1MDB mendapat untung melalui pelaburan yang dibuatnya.

Wan Azwan memberikan contoh antaranya pelaburan syarikat itu di dalam sektor tenaga melalui pengambilalihan janakuasa yang membawa keuntungan.

Peguam bela itu turut mencadangkan bahawa pelaburan hartanah yang dibuat oleh 1MDB turut menjana keuntungan melalui pembinaan Menara Tun Razak Exchange (TRX).

Bagaimanapun, Nur Aida yang tidak bersetuju dengan cadangan peguam, dengan menjelaskan janakuasa tenaga berkenaan akhirnya dijual kepada syarikat dari China untuk melunaskan hutang yang 1MDB.

Kata Nur Aida, TRX pula bukan dibangunkan menggunakan duit pelaburan 1MDB seperti yang terdapat dalam perjanjian usaha sama pada peringkat awal, sebaliknya syarikat perlu mendapatkan pelaburan berasingan dengan mendapatkan syarikat lain untuk melabur bagi membangunkan menara terbabit.

Malah katanya, hasil siasatan mendapati dana yang diperoleh untuk pembangunan TRX atau nama asalnya Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) diselewengkan dan pembangunan TRX sebenarnya dibiayai oleh pelabur asing.

Pada prosiding hari ini, pembelaan selesai menyoal balas saksi penting pendakwaan itu selepas sesi soal balas berlangsung selama 16 hari.

Peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihaknya selesai menyoal balas saksi, yang disambut oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, "Ini suatu berita menggembirakan'.

Seterusnya, Nur Aida diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membabitkan dokumen bank melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dari Barbados, Singapura dan Hong Kong.

Saksi itu berkata, beliau tersilap ketika mengemukakan salinan dokumen terbabit kepada mahkamah dan bukannya salinan asal kerana ia membabitkan dokumen terlalu banyak.

Saksi turut menafikan mempunyai sebarang niat jahat.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Nur Aida memberikan keterangan bahawa beberapa negara menghulurkan bantuan dari segi penyerahan dokumen bank melalui MLA bagi membantu siasatan skandal 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Nur Aida berkata, antaranya Switzerland, Barbados, Hong Kong dan Belanda.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-49 itu berkata, keempat-empat negara tidak memberikan sebarang jawapan atau maklum balas ketika beliau mengemukakan permohonan untuk merakam percakapan saksi bank melalui Peguam Negara pada 2018 dan 2019.

Nur Aida memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 6:41 PM