Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, hadir ke mahkamah bagi sebutan pertuduhan membunuh seorang ibu tunggal, Mila Sharmila atau Bella di Mahkamah Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, hadir ke mahkamah bagi sebutan pertuduhan membunuh seorang ibu tunggal, Mila Sharmila atau Bella di Mahkamah Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 21 April depan untuk mendengar pihak pendakwaan mengemukakan permohonan izin bagi memindahkan kes teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz yang didakwa membunuh wanita itu, ke Mahkamah Tinggi Muar.

Majistret Suhaila Shafi'uddin menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan diketuai Siti Khalijah Khalid memaklumkan sudah menerima laporan forensik berhubung kes terbabit.

Prosiding yang ditetapkan hari ini adalah pengesahan penerimaan laporan forensik sekali gus membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan dokumen diperlukan untuk memindahkan kes Mahkamah Tinggi.

"Pihak pendakwaan sudah menerima laporan forensik dan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi membolehkan permohonan izin dikemukakan," hujah Siti Khalijah.

Peguam bela yang mewakili Mohammad Haikal, Syahril Anuar Harun memaklumkan kepada mahkamah pihaknya tidak mempunyai halangan serta bersetuju dengan tarikh berkenaan.

Terdahulu, Mohammad Haikal tiba di mahkamah sekitar jam 8.15 pagi dengan berbaju putih. Turut kelihatan anak lelaki Bella, Eusof Abdul Fatah, 5, serta ahli keluarganya yang menunggu di perkarangan mahkamah seawal jam 8 pagi.

Hadir sama, peguam pemerhati keluarga Bella, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Pada 24 Januari lalu, Mohammad Haikal didakwa membunuh Bella atau nama sebenar Mila Sharmilah Samsusah, Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, bekas posmen itu didakwa membunuh Mila Sharmilah, 32, di antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian itu berlaku pada 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 1:00 PM