TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 6 Mei ini bagi mendapatkan status arahan lanjut dan juga izin berhubung kes seorang lelaki yang didakwa membunuh teman wanita dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Suhaila Shafi'uddin menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka masih menunggu status terbabit.

Pihak pendakwaan dikendalikan Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh, Muhammad Haikal Mahfuz, 24, diwakili peguam Syahril Anuar Harun.

Sebelum itu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah sekurang-kurang tempoh sebulan diperlukan untuk mengetahui status izin namun Syahril Anuar bangun meminta tarikh sebutan dipendekkan.

Syahril Anuar ketika ditemui berkata, sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendapat izin namun terdapat arahan lanjut yang diterima pihaknya pada 12 April lalu.

"Jadi kita perlu tunggu arahan daripada pihak pendakwaan, kita terkejut juga dengan status terbabit namun tetap bersedia untuk mengikuti prosedur mahkamah.

"Cuma kita minta tarikh pendek (singkat) kerana sebutan kes pada bulan lalu, dikatakan sedang mendapat arahan lanjut namun begitu, terdapat satu lagi arahan lanjut tambahan diterima baru-baru ini," katanya.

Terdahulu, Mohammad Haikal tiba di mahkamah pada jam 8.10 pagi dengan memakai baju-T putih.

Turut kelihatan ialah ahli keluarga kepada Mohammad Haikal termasuk bapanya yang menunggu seawal jam 8 pagi di perkarangan mahkamah.

Mohammad Haikal didakwa membunuh Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian itu berlaku pada jam 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 1:07 PM