Ahli keluarga mangsa menunggu di luar mahkamah sambil memegang poster Mila Sharmila atau Bella di Mahkamah Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahli keluarga mangsa menunggu di luar mahkamah sambil memegang poster Mila Sharmila atau Bella di Mahkamah Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERNAMA

Batu Pahat: Ahli keluarga mangsa bunuh, Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak polis atas komitmen dalam menjalankan siasatan kes kehilangan wanita itu sejak Disember tahun lalu.

Bapa saudara Bella, Nor Azhar Jamil, 55, berkata semua ahli keluarga terkesan selepas kehilangan Bella yang berkesudahan dengan penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah, di sini, baru-baru ini.

Katanya, seluruh keluarga berharap pelaku yang menyebabkan kematian Bella yang juga ibu tunggal dua anak itu akan menerima hukuman yang setimpal.

"Selepas 38 hari kehilangan Bella akhirnya berkesudahan dengan berita menyedihkan menyebabkan kakaknya, Norisham, 36, amat terkesan dengan pemergian adik bongsunya.

"Kami juga akan mengikuti sepenuhnya kes ini sehingga tamat demi keadilan untuk Bella," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Terdahulu, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan membunuh wanita itu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nor Azhar bersama ahli keluarga Bella yang lain turut hadir di mahkamah seawal kira-kira 7.45 pagi bagi mendengar prosiding itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 2:27 PM