AHMAD Zahid ketika hadir pada Jelajah Akar Umbi Presiden Bersama Umno Bahagian Kepala Batas hari ini. FOTO Bernama.
AHMAD Zahid ketika hadir pada Jelajah Akar Umbi Presiden Bersama Umno Bahagian Kepala Batas hari ini. FOTO Bernama.
Siti Aminah Mohd Yusof


Kepala Batas: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan persepsi akar umbi Umno terhadap Kerajaan Perpaduan semakin bertambah baik meskipun kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering dilempar pelbagai isu.

Ahmad Zahid merangkap Presiden Umno berkata Anwar sendiri mahukan supaya parti yang menjadi teras Barisan Nasional (BN) itu diperkukuhkan dengan meneruskan usaha meraih dukungan bukan sahaja dalam kalangan ahlinya malah membabitkan mereka yang tidak mempunyai parti.

"Tetapi saya yakin dengan adanya jumlah yang melebihi dua pertiga majoriti di Parlimen bersama program digariskan beliau sokongan terhadap kerajaan akan semakin meningkat dan terus diperkuatkan.

"Bulan lalu, kita telah mengadakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Perak dengan sambutan yang diterima begitu luar biasa dan selepas Aidilfitri kita akan teruskan di negeri lain pula.

"Saya sudah mencadangkan kepada Pengerusi BN Pulau Pinang (Datuk Musa Sheikh Fadzir) untuk kita mengadakan konvensyen di Pulau Pinang Syawal nanti," katanya selepas menghadiri Jelajah Akar Umbi di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas hari ini.

Pada program itu, Ahmad Zahid turut dimaklumkan Umno Pulau Pinang telah menerima permohonan 25,000 ahli baharu serta pembukaan dua lagi cawangan baharu di Kepala Batas tahun ini.

Menurutnya, program Jelajah Akar Umbi telah dimulakan sejak Oktober lalu dan beliau melihat anggota parti akar umbi begitu dahagakan maklumat semasa dengan beliau sendiri turun padang memberi penerangan baik dilakukan secara terperinci atau tidak dari semasa semasa.

Katanya, beliau sendiri telah menggariskan beberapa isu yang menjadi persoalan kepada ahli-ahli parti itu dan berpandangan penjelasan harus terus dilaksanakan pada setiap peringkat bahagian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mesyuarat pertama dalam usaha mewujudkan Sekretariat Tetap Majlis Ekonomi Bumiputera yang akan dipengerusikan Perdana Menteri selepas penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 akan diadakan pada Isnin ini.

Ahmad Zahid berkata, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang diadakan baru-baru ini memperlihatkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan semua 82 resolusi yang telah digariskan serta dilihat munasabah untuk dilaksanakan tanpa perlu mewujudkan agensi-agensi baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 8:35 PM