PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kanan) bersalaman bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga kiri) di Kongres Nasional KEADILAN di Putrajaya. Turut kelihatan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (dua kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kanan) bersalaman bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga kiri) di Kongres Nasional KEADILAN di Putrajaya. Turut kelihatan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (dua kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini ditegur dan perlu berlaku adil dalam memilih calon untuk bertanding dalam pilihan raya bagi mewakili parti itu.

Seorang pembahas PKR dari Melaka, Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, pimpinan parti itu seharusnya tidak memilih calon hanya berdasarkan kelayakan akademik semata-mata untuk bertanding.

"Kami faham pimpinan tertinggi perlu mengambil kira banyak aspek dalam membuat keputusan. Tetapi pimpinan tertinggi juga perlu berlaku adil, bukannya ada kelayakan akademik, automatik dapat menjadi calon.

"Selepas menang jadi YB (Yang Berhormat) pun, tidak tahu mana satu jalan nak dibuat, mana satu rumah nak dibaiki.

"Pimpinan tertinggi boleh cadangkan dalam kongres untuk perwakilan setuju, kalau nak letakkan syarat mereka yang ada kelayakan akademik mesti daripada pimpinan cabang atau mendapat sokongan cabang, barulah boleh menjadi calon," katanya ketika berucap di Kongres Nasional PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Mengulas lanjut, Lim turut menegaskan bahawa peringkat cabang adalah pentadbir rasmi parti itu di peringkat akar umbi.

"Kalau pimpinan tertinggi membuat keputusan lantikan politik dan calon pilihan raya tanpa melibatkan cabang, cabang akan diketepikan dan akhirnya masalah rakyat tidak dapat diselesaikan," katanya.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menegur wakil rakyat pembangkang wanita di negara ini agar membicarakan soal dasar kerajaan yang boleh membawa kepada kemajuan sosial politik mereka dan memberikan kritikan membina.

"Jadilah pembangkang yang berkesan, bukannya menggunakan budaya menakutkan masyarakat dan memainkan sentimen perkauman yang tidak ada langsung tempat dalam negara kita hari ini.

"Kerajaan Perpaduan Madani di bawah pimpinan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), cukup terbuka dengan cadangan yang membina. Datuk Seri telah meletakkan tanda noktah ke atas politik kotor di mana Datuk Seri merupakan mangsa politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 12:22 PM