TAN Sri Azam Baki. FOTO Bernama
TAN Sri Azam Baki. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan maklumat berhubung rampasan empat kereta mewah yang dikaitkan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Munich, Jerman.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menghantar permohonan untuk mendapatkan maklumat itu daripada pihak berkuasa negara berkenaan.

Beliau berkata, SPRM pada 26 Oktober 2022 pernah menghantar permohonan sama bagi mendapatkan maklumat mengenai pembelian kereta mewah di negara itu yang menggunakan dana bon 1MDB.

Malah, katanya, siasatan berhubung perkara itu dimulakan SPRM sejak 2020 lagi.

"Ia bermula apabila Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland dilakukan SPRM untuk mendapat maklumat mengenai aset beku berkaitan kes 1MDB dilaksanakan pada November 2020.

"Ini diikuti dengan mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terbabit dalam siasatan 1MDB pada tahun 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan SPRM bagi membantu siasatan kes terbabit.

Terdahulu, media Jerman, Bild melaporkan pihak berkuasa merampas empat kereta mewah model Bugatti Veyron di Munich, Jerman, yang dikaitkan dengan siasatan kes 1MDB.

Menurut laporan itu, kesemua kenderaan edisi khas itu dirampas dari sebuah kemudahan penyimpanan persendirian di Munich.

Kenderaan mewah itu dikatakan siri eksklusif yang mana hanya 18 kereta dibina dalam siri berkenaan dan biasanya tidak dijual di lelongan awam.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini dengan setiap kereta berharga lebih AS$3 juta (kira-kira RM14.3 juta).

Bild melaporkan, kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih.


Polis Jerman rampas 4 kereta mewah berkaitan kes 1MDB

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 4:37 PM