Muhyiddin pada sidang media selepas  Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Muhyiddin pada sidang media selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: "Carilah modal lain kalau nak serang pun." Demikian nasihat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan serangan peribadi berkaitan kelayakan akademi calon gabungan itu sejak akhir-akhirnya.

Kelayakan akademik Khairul Azhari Saut dipersoalkan susulan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan diperolehi daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tanpa melalui sarjana muda.

Muhyiddin berkata, kelulusan diperolehi Khairul Azhari adalah sah dengan perkara itu sudah diperjelaskan pelbagai pihak untuk menangkis tohmahan dilemparkan terhadapnya.

"Saya nak jelaskan secara ringkas, kelulusan yang diperolehi memang betul dari universiti, saya sendiri baca memang ada kelayakan (sarjana) dan sebagainya dibuat oleh universiti.

"Ini bukti menunjukkan pihak sebelah sana tiada modal...nak cari isu personal padahal tak betul dan diperjelaskan banyak pihak," katanya pada sidang media ketika Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertikaian berkaitan kelulusan diperoleh pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor itu yang dicalonkan PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Sebelum ini, isu berkaitan kelulusan akademik Khairul Azhari mendapat perhatian apabila ramai mempersoalkan kelayakan ijazah sarjananya tanpa memiliki ijazah sarjana muda.

Bagaimanapun, perkara itu disahkan oleh Dr Ahmad Johari Mohamad yang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced bahawa Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya pada konvokesyen tahun 2021.

Menerusi poster pilihan raya, calon berusia 54 tahun itu diuar-uarkan memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 dan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA pada 2021.

Terdahulu, Khairul Azhari memuat naik transkrip dan sijil pengajiannya yang memperoleh dari UMPSA pada 29 September 2021.

Beliau melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya majlis konvokesyen pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 4:31 PM