Izwan Abdulllah


Kota Kinabalu: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang ada ketika ini mempunyai makna yang lebih besar berbanding Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, walaupun soal etnik adalah isu akar umbi, namun bangsa Malaysia yang besar dan konsep Malaysia Madani yang didokong ketika ini harus diberi keutamaan.

Beliau yang mengulas pertemuan Dr Mahathir dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta beberapa pemimpin lain berhubung Proklamasi Orang Melayu berkata, apa yang penting ketika ini adalah mengetepikan soal perbezaan etnik dan politik.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya atas pertemuan Tan Sri Abdul Hadi dan Tun Dr Mahathir. Ucapan ini kerana kita tahu bahawa Tun Mahathir adalah liabiliti baharu dalam politik tanah air.

"Ini dijawab dengan kekalahan beliau di Langkawi dan hilang deposit, malah tiada calon dari partinya yang menang (pada pilihan raya lalu).

"Kalau pertemuan ini (Proklamasi Orang Melayu) kononnya untuk penyatuan dan perpaduan orang Melayu, harus diketahui bahawa walaupun Umno parti orang Melayu dan Bumiputera yang besar, Kerajaan Perpaduan mempunyai makna yang lebih besar untuk negara kita.

"Kita rasa soal etnik walaupun ia isu akar umbi namun bangsa negara Malaysia yang besar, Kerajaan Perpaduan dan negara Malaysia Madani yang kita sama-sama dokong harus diberi keutamaan," katanya pada sidang media ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Sabah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, apa yang penting ialah menjaga soal kemajmukan rakyat negara ini dan mengetepikan perbezaan politik serta etnik.

"Cukuplah sepenggal lalu politik kita berkecamuk dan kita dapat tiga kepemimpinan yang berbeza. Lihatlah apa akibat yang berlaku kepada negara kita.

"Kini kita sama-sama bentuk (Kerajaan Perpaduan) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 19 parti dalam empat gabungan utama, jadi ini yang menjadi keutamaan," katanya.

Beliau berkata, Umno juga menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang sebelum ini menyuarakan kebimbangan berhubung isu kestabilan kerajaan dan bertitah supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan serta kemakmuran negara seharusnya diutamakan.

Ahmad Zahid berkata, semua pemimpin parti politik perlu menghayati dan menjunjung titah Sultan Ibrahim itu sejajar hasrat untuk maju dan membentuk negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi.

"Kita mahu politik yang stabil dan semakin ekonomi rancak kira. Kita juga mahu pelaburan luar dan dalam meningkat kerana kita mahu mengutamakan pertumbuhan ekonomi.

"Apa yang penting ialah kesejahteraan rakyat, bukan lagi politik dan tentunya kita tamatkan keadaan politik yang pelbagai sebelum ini dan jangan timbulkan isu baharu.

"Kerajaan sekarang stabil dengan 148 Ahli Parlimen menyokong dan sokongan itu harus ditambah. Kerjasama kerajaan negeri dan Pusat harus ditingkatkan demi kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya.

Sementara itu, mengenai ahli dan pemimpin Umno yang terbabit dengan gerakan Proklamasi Orang Melayu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan melihat tujuan mereka sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Kita akan lihat apakah tujuan yang tersirat dari pengakuan dan perjanjian itu. Kita akan teliti dan bincang melalui biro politik sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 3:40 PM