BERUANG matahari yang masuk ke perangkap dipasang anggota Perhilitan. FOTO Rosli Ilham
BERUANG matahari yang masuk ke perangkap dipasang anggota Perhilitan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Kebimbangan penduduk kampung Pengkalan Ranggon Kerteh, dekat sini, berakhir selepas seekor beruang matahari berjaya ditangkap, hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang seberat 80 kilogram itu masuk ke perangkap yang dipasang Perhilitan kira-kira 6.30 pagi.

Menurutnya, kehadiran beruang jantan itu mendatangkan kebimbangan kepada penduduk kampung sebelum anggota Perhilitan mengambil keputusan segera memasang perangkap di situ pada 22 April lalu.

"Hari ini beruang itu berjaya ditangkap dan kerja-kerja memindahkan haiwan itu selesai jam 12.45 tengah hari dan akan dilepaskan semula ke kawasan habitat semula jadi yang sesuai untuknya," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Mohd Zaidi Ismail berkata, dia berasa lega sebaik mendapat tahu beruang itu berjaya ditangkap kerana sebelum ini, kehadiran beruang itu sedikit sebanyak menjejaskan rutin harian penduduk.

Menurutnya, beruang itu turut merosakkan tanaman penduduk sehingga ada penduduk mengalami kerugian.

"Bila dapat tangkap, penduduk sangat lega, anak-anak pun sudah boleh keluar bermain berbanding sebelum ini terpaksa berkurung di rumah," katanya.

Rafizah Awang Him berkata, dia sangat lega dan kebimbangannya sebelum ini berakhir selepas melihat sendiri beruang itu masuk ke perangkap yang dipasang Perhilitan.

Katanya, beruang terbabit bukan sahaja menceroboh kebun penduduk, malah berani masuk ke kawasan perumahan penduduk.

"Mana tak takut, bila beruang ini masuk ke kawasan penempatan kami. Selepas ini penduduk tidak takut lagi untuk ke kebun dan membiarkan anak-anak bermain di luar kawasan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 5:39 PM