HAKIM Danish menaiki podium kedua. FOTO ZK RACING
HAKIM Danish menaiki podium kedua. FOTO ZK RACING
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengotakan janji apabila menamatkan saingan Pusingan 1 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup yang berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol di pentas podium selaku naib juara.

Hakim Danish bagaimanapun mengakui banyak kerja rumah perlu dilakukan kerana ketika di ambang kejuaraan dia dipintas di saat akhir sewaktu saingan hampir menuju ke garisan penamat pada Perlumbaan 2 itu.

Pelumba berusia 17 tahun terpaksa akur menyaksikan pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe lebih pantas dan terlebih dahulu memintas garisan penamat.

Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat kedua, 0.006 saat (s) di belakang Carpe yang mencatatkan masa terpantas 25 minit 40.711s untuk muncul juara manakala pelumba Sepanyol, Brian Uriarte di tempat ketiga.

"Saya hampir menang pada perlumbaan tadi tapi tak mengapa kerana saya tak putus asa dan akan terus buat lebih baik lepas ini.

"Perlumbaan tadi sangat pantas dan semua pelumba bagi saingan yang sengit. Apapun saya gembira kerana dapat memberikan podium buat pasukan dan negara," katanya.

Hakim sebelum ini pernah pernah menduduki tempat ketiga di Pusingan 1 Perlumbaan 2 di Litar Algarve, Portugal pada penampilan pertamanya musim lalu.

Kemenangan selaku naib juara itu menyaksikan Hakim Danish kini melonjak ke kedudukan kelima carta keseluruhan pelumba dengan 27 mata selepas menamatkan Perlumbaan 1 semalam di tempat kesembilan.

Pusingan 2 bagi musim 2024 selepas ini dijadual berlangsung di Litar Le Mans, Perancis pada 11 dan 12 Mei ini sebelum Litar Mugello, Itali menjadi venue bagi pusingan ketiga dari 1 hingga 2 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 4:38 PM