DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO ASYRAF HAMZAH
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata UMNO akan mempertahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid berkata perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 2020.

"UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Ketetapan ini bukan hanya oleh MKT tetapi ia lahir daripada suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU15," katanya.

Beliau berkata UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama namun menyedari ia adalah lumrah sebuah negara demokrasi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata kekuatan UMNO dan akar umbinya yang bangkit tidak harus sesekali diperkecil.

"UMNO parti terbesar bangsa Melayu dan parti terbesar di negara ini maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.

"Dominan bukan pula bermaksud angkuh tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan," katanya.

Ahmad Zahid, dalam hantaran di laman Facebooknya, juga berkata UMNO mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dan berdiri teguh memperkasa Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata ia adalah ketetapan yang diambil ketika Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang memfokus kepada PRU15 yang dijangka diadakan sejurus pandemik Covid-19 ditangani.

"Keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang telah dimuktamadkan. Ia bukan sekadar satu ketetapan oleh Majlis Tertinggi tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi pada Perhimpunan Agung UMNO 2020," katanya.

Mengulas pembentukan kerajaan Keluarga Malaysia, Ahmad Zahid berkata ia adalah bagi memastikan kelangsungan pentadbiran yang bersifat sementara sebelum Parlimen dibubarkan.

"Kerajaan sementara ketika ini ditubuhkan dengan pertimbangan suasana politik yang masih tidak stabil sedangkan rakyat diancam pandemik Covid-19.

"Insya-Allah kita yakin UMNO dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU15," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 10:46 PM