Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu berusaha membawa kerjasama dan kestabilan yang wujud di peringkat kerajaan ke peringkat ahli parti komponen dan akar umbi.

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, struktur dan kerangka Kerajaan Perpaduan sangat jelas, merangkumi semua parti terbabit yang melangkaui sifir politik, agama dan kaum, yang dimahukan rakyat.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO berkata, ini bukan masa untuk setiap parti mencari salah dan silap serta mengungkit kisah silam sepanjang permusuhan di pentas politik.

"Ya, mungkin pada peringkat awal agak janggal. Siapa sangka saya boleh duduk semeja dengan Yang Berhormat (YB) Aiman (Athirah Sabu) (Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH)) dan boleh bekerja serta berbincang dengan YB Chong Eng (Ketua Wanita DAP), namun ini satu perkara yang sudah kita mulakan dan insya-Allah, kita akan teruskan sampai bila-bila.

"Dengan gabungan besar yang sarat dengan pengalaman, potensi yang ada ini tidak boleh disia-siakan. Kita perlu fokus, jadikan konvensyen ini sebagai titik mula kepada sebuah agenda yang lebih besar, tekad bersama dan jangan bertangguh lagi," katanya pada Konvensyen Wanita Perpaduan di WTC, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan pemimpin wanita parti Kerajaan Perpaduan.

Noraini berkata, Kerajaan Perpaduan adalah bukti bahawa walaupun datang daripada parti berbeza, pemimpin sebenarnya boleh berbincang secara profesional untuk membawa agenda untuk rakyat dan negara, dalam suasana yang harmoni.

Beliau mengakui, banyak yang sudah dilakukan kerajaan untuk rakyat sebelum ini, namun masih banyak juga ruang yang boleh diperbaiki.

"Apa pun keadaannya, Kerajaan Perpaduan kini membawa harapan rakyat yang besar. Inilah masanya kita kembalikan kemakmuran rakyat.

"Dasar ekonomi kita perlu seiring dan selari dengan kehidupan harian rakyat Malaysia. Malaysia memerlukan dasar ekonomi untuk semua.

"Ini semua hanya boleh dicapai jika kita semua bersatu hati dan menjalankan tanggungjawab dengan jujur serta ikhlas," katanya.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre. FOTO AZIAH AZMEE
Pengerusi Wanita Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre. FOTO AZIAH AZMEE

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 3:54 PM