Ahmad Bashah Md Hanipah (empat kiri) Shamsul Anuar (tiga kiri ) bergambar bersama murid-murid selepas menyampaikan sumbangan pembukaan akaun SSPN-i. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Ahmad Bashah Md Hanipah (empat kiri) Shamsul Anuar (tiga kiri ) bergambar bersama murid-murid selepas menyampaikan sumbangan pembukaan akaun SSPN-i. FOTO Shahrul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


UMNO tidak pernah memilih dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat, kata Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurutnya, pihaknya mengambil pendekatan turun ke akar umbi untuk  terus mendekati rakyat.

"Saya memilih untuk menyerahkan bantuan yang juga amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di perkarangan pejabat penghulu supaya dapat berjumpa terus dengan rakyat di mana rakyat boleh menilai sendiri bagaimana UMNO membantu rakyat tanpa mengira sama ada mereka menyokong parti atau sebaliknya.

"Pada hari ini, pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, belia sehinggalah warga emas menerima bantuan daripada Biro Kebajikan UMNO, saya yakin lebih banyak bantuan akan diterima rakyat bukan sahaja di Kedah tapi juga di seluruh negara," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kepada 3,000 penduduk kawasan Parlimen Alor Setar yang disalurkan Biro Kebajikan UMNO sempena program 'UMNO Bantu Rakyat 2.0' di Pejabat Penghulu Mukim Tajar, Alor Setar, hari ini.

Bantuan itu termasuk sumbangan bagi membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada 500 murid, bantuan barangan keperluan harian kepada ibu tunggal, anak yatim dan pesakit terlantar, klinik motosikal percuma serta baik pulih pendawaian elektrik rumah bagi penduduk yang terpilih.

Turut hadir Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu, Shamsul Anuar yakin rakyat akan terus bersama UMNO selagi parti itu meneruskan pendekatan turun ke akar umbi membantu mereka yang memerlukan.

“Kita bukan saja bantu untuk meringankan beban rakyat yang memerlukan tapi juga merancang masa depan pelajar menerusi sumbangan akaun SSPN-i," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 4:08 PM