AHLI Umno Bahagian Bukit Bintang berkumpul mendesak Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan di Menara Dato Onn. FOTO Aizuddin Saad
AHLI Umno Bahagian Bukit Bintang berkumpul mendesak Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan di Menara Dato Onn. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Laungan 'undur Zahid, No DAP, No Anwar' bergema di ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn di sini petang ini.

Ia disuarakan sendiri akar umbinya dari Umno Bahagian Bukit Bintang yang kecewa ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Jurucakap akar umbi Umno itu, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar mengambil tanggungjawab atas keputusan buruk BN pada PRU kali ini.

"Mana-mana organisasi sekiranya gagal capai kemenangan, maka ia mesti digalas ke atas kepala partinya. Dalam hal ini Presiden Umno sendiri.

"Bukan kita tak sayangkan Ahmad Zahid dan parti, tapi beliau perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini. BN sudah kalah dalam dua PRU berturut-turut," katanya ditemui media di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk berundur jika diambil Ahmad Zahid adalah lebih wajar dan lebih terhormat sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan serta mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya rasa ramai lagi Ketua Umno Bahagian dan ahli UMNO akar umbi akan mengikut langkah kita. Kita tak kisah dibuang parti. Kita mahu suarakan naluri dan isi hati kami," katanya.

Katanya, mereka juga tidak bersetuju dengan cadangan mahu supaya BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan, susulan tiada gabungan meraih cukup 112 kerusi Parlimen.

Difahamkan, ada beberapa lagi kumpulan yang didakwa mewakili akar umbi Umno akan hadir ke ibu pejabat parti itu bagi menzahirkan hasrat sama hari ini.

BN mengalami kekalahan paling buruk sejak menyertai PRU selepas hanya menang di 30 kerusi Parlimen pada PRU-15, yang menutup tirai semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 4:56 PM