Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pemuda Umno mengakui berdepan cabaran bagi memujuk akar umbi parti itu di Parlimen Pulai bagi memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ia berikutan ini adalah kali pertama calon daripada Barisan Nasional (BN) atau Umno tidak bertanding di situ.

"Sudah tentu kita mempunyai cabaran kerana kita tak bertanding kali ini selepas tidak pernah gagal menurunkan calon di kawasan Parlimen Pulai.

"Namun kita ada strategi tersendiri dengan duduk dan cari akar umbi untuk memberi penerangan dan kefahaman mengapa sokongan kepada calon PH di Pulai ini amat penting bagi kestabilan Kerajaan Perpaduan.

"Insya-Allah (sokongan akar umbi Umno) akan dapat dizahirkan pada peti undi pada 9 September nanti," katanya pada sidang media selepas program santai bersama Pemuda Umno di Medan Selera Taman Cempaka, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pemuda Umno, Mohd Hairi Md Shah.

Kelmarin, Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan akan memujuk ketua cawangan bahagian itu yang menolak calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.

Nur Jazlan dilaporkan berkata beliau akan berusaha keras untuk memujuk ketua dan ahli Umno di peringkat akar umbi bagi memberikan sokongan padu kepada calon PH, Suhaizan Kayat.

Dalam pada itu, Dr Mohd Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka berkata, kehadiran Pemuda Umno di Parlimen Pulai membuktikan solidariti dengan calon PH dan kerajaan Perpaduan.

Katanya, kehadiran kesemua kepimpinan Pemuda di Parlimen Pulai membuktikan sayap Umno itu menyokong penuh calon PH di kawasan itu.

"Saya sudah arahkan semua Pemuda Johor dan seluruh negara supaya berkampung di sini dan Simpang Jeram untuk kita pastikan pada 9 September nanti undi daripada BN dapat dizahirkan dalam peti undi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 11:14 PM