PARAMESVARY (duduk kiri) bersama suami, Thanjappan (kanan) ketika menerima kunjungan Noraini (dua dari kanan) di kediaman mereka di Taman Serdang Jaya, dekat Sitiawan, di sini, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
PARAMESVARY (duduk kiri) bersama suami, Thanjappan (kanan) ketika menerima kunjungan Noraini (dua dari kanan) di kediaman mereka di Taman Serdang Jaya, dekat Sitiawan, di sini, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Mendiang Leftenan T Sivasutan, 31, yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Selasa lalu, meminati kerjaya tentera sejak di bangku sekolah.

Ibu mendiang, A Paramesvary, 60, berkata anak kedua daripada tiga beradik yang mesra dipanggil 'ayya' dalam kalangan ahli keluarga itu menyimpan cita-cita menjadi pegawai TLDM berikutan tertarik kepada uniform serba putih pasukan itu.

Pesara guru itu berkata, dia dan suami, M Thanjappan, 61, tidak menghalang kehendak Sivasutan meskipun menyedari tugas tentera mempunyai risiko tersendiri.

"Kebetulan semasa menetap di rumah lama kami, ada jiran pegawai TLDM. Mungkin itu antara penyumbang minat dia," katanya semasa menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di kediamannya di Taman Serdang Jaya, dekat Sitiawan, di sini, hari ini.

Paramesvary berkata, Sivasutan pernah meminta pendapatnya ketika memilih kepakaran dalam pasukan TLDM selepas tamat rekrut, sama ada latihan menjadi juruterbang helikopter, pegawai kapal selam atau komander (pegawai memerintah kapal perang).

"Saya tahu hatinya antara dua, sama ada helikopter atau kapal selam.

"Saya ada beritahu jika dia pilih kapal selam saya tak dapat lihat dia.

"Bagaimanapun, keputusan terpulang kepada dia. Jadi dia pilih juruterbang dan saya berikan restu," katanya mengakui semakin pulih daripada trauma berbanding hari pertama menerima berita mengejutkan itu, tempoh hari.

Dalam pada itu, Paramesvary memaklumkan abu mendiang sudah selamat disemadikan di sebuah pusat persemadian Hindu di Sitiawan.

Pada sesi lawatan berkenaan, Noraini menyerahkan sumbangan RM3,000 melalui Skim Pemberian Ehsan Yayasan Kebajikan Negara, barangan keperluan serta sumbangan peribadi beliau kepada tiga waris mangsa nahas terbabit yang menetap di Perak.

Terdahulu, Noraini melawat keluarga Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi di Taman Lekir Indah, Batu 12 Lekir, di sini.

Beliau juga menziarahi keluarga Pegawai Waran II TNL Nurfarahimi Mohd Suady di kuarters Pangkalan TLDM Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 5:02 PM