Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorang mekanik atas kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat hampir 200 kilogram (kg), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng membuat keputusan itu terhadap Tai Chee Khiong selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Lim ketika membacakan keputusan berkata, tertuduh didapati mempunyai pengetahuan dan milikan secara langsung terhadap dadah seberat 199,950.01 gram dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Katanya, walaupun ia kesalahan pertama tertuduh, tetapi dalam menjatuhi hukuman, mahkamah mengambil kira jumlah berat dadah yang terbabit dalam kes itu yang merupakan yang terbesar di Sabah setakat ini.

Jelasnya, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, Mahkamah Tinggi Tawau pernah mensabitkan kesalahan berkaitan kes dadah masing-masing membabitkan berat 35kg, 12kg, 10kg, 7kg dan 4kg tetapi masih belum dapat menyamai berat dadah yang terlibat dalam kes ini.

Sejurus keputusan dibacakan, tertuduh yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul dengan sesekali dilihat menundukkan wajahnya ke lantai sambil menghela nafas panjang.

Malah, tertuduh juga tidak memberi maklum balas ketika diberi peluang untuk menyatakan sesuatu sebelum hakim menjatuhi hukuman itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah di kawasan Kampung Batu Payung dekat sini, jam 7.30 malam, 6 September 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum tidak kurang 15 sebatan.

Prosiding perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain bersama Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam, Darmin Acok.

Terdahulu, Hurman dalam hujahnya berkata, walaupun budi bicara terletak kepada mahkamah untuk menjatuhi hukuman sama ada tertuduh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) serta minimum 12 sebatan, pihaknya memohon supaya hukuman gantung sampai mati dikenakan mengambil kira jumlah berat dadah terlibat selain faktor kepentingan awam.

Tai Chee Khiong, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tai Chee Khiong, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Selain itu, katanya, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan yang juga juruanalisa Jabatan Kimia Malaysia Sabah mendapati, kes ini juga membabitkan jumlah sampel dadah (untuk dianalisa) dan jumlah sampel positif terbesar pernah direkodkan oleh jabatan berkenaan.

Untuk rekod, sabitan kes hari ini juga adalah kes pertama Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhi hukuman mati selepas pemansuhan hukuman mati mandatori 2023 yang berkuasa 4 Julai 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 1:09 PM