TERTUDUH Fung Kim Loong, (kiri) dan Sirman Abdullah dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
TERTUDUH Fung Kim Loong, (kiri) dan Sirman Abdullah dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang


Tawau: Dua lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 4091.7 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh, Fung Kim Loong, 42, dan Sirman Abdullah, 32, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Hukuman itu diputuskan Duncan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dan kedua-dua tertuduh diarah membela diri.

"Setelah mendengar hujahan kedua-pihak, mahkamah mendapati hujahan serta rentetan cerita pihak pembelaan gagal mematahkan kes prima facie pihak pendakwaan dan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah.

"Mahkamah juga mendapati rentetan cerita pihak pembelaan hanya rekaan semata-mata bagi menidak dan menafikan pengetahuan serta pembabitan kedua-dua tertuduh terhadap pengendalian dadah berkenaan.

"Justeru, mahkamah bersetuju dengan hujahan faktor pemberat hukuman oleh pihak pendakwaan untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.

"Meskipun Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 sudah berkuat kuasa, tetapi itu tidak menghalang budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati," katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 4091.7 gram di sekitar Lorong 5C 1/1, Bandar Sri Indah Tawau, jam 3.55 petang pada 14 Jun 2022.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum tidak kurang 15 sebatan.

Perbicaraan bermula pada 27 dan 28 Februari lalu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad manakala Fung diwakili Peguam Datuk Ram Singh sementara Sirman diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinke.

Terdahulu Ram Singh dalam mitigasi memohon hukuman diringankan berkata kedua-dua tertuduh tidak saling mengenali dan mereka adalah pembawa tidak bersalah (innocent carrier) serta tiada niat jahat bersama untuk mengedar dadah di samping mempunyai keluarga untuk ditanggung.

Atas dasar itu katanya, pihak pembelaan memohon mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menjatuhkan hukuman alternatif iaitu penjara seumur hidup (30 tahun) dan hukuman minimum 12 sebatan.

Bagaimanapun Hurman dalam hujahan untuk pemberatan hukuman menegaskan pihaknya memohon hukuman gantung sampai mati dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh kerana fakta kes mewajarkannya.

"Pendakwaan juga mengambil kira faktor peningkatan pendaftaran kes-kes pengedaran dadah ketika ini selain jumlah berat dadah dalam kes ini yang melebihi empat kilogram serta faktor kepentingan awam," hujahnya.

Untuk rekod, sabitan kes hari ini juga adalah kes kedua bulan ini Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhi hukuman mati dengan selepas kes pertama membabitkan seorang mekanik dikenakan hukuman yang sama atas kesalahan mengedar hampir 200 kilogram, pada 8 Mac lalu.

Ia selepas pemansuhan hukuman mati mandatori 2023 yang berkuasa 4 Julai 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 1:52 PM