Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Buruh warga Filipina dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kerana membunuh rakannya dengan mengelar leher lelaki terbabit sehingga hampir putus, tiga tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas tertuduh, Robin Radjani Saih, 49, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengangkat baja didapati bersalah membunuh Fazrin Ibrahim, 30, di kawasan simpang masuk Taman Warisan 4, Lahad Datu, antara jam 1.20 hingga 1.40 petang pada 24 April 2018 yang didakwa berpunca daripada masalah hutang.

Dalam penghakimannya, Lim berkata, mahkamah berpendapat pihak pendakwaan telah membuktikan elemen pembunuhan melangkaui keraguan munasabah dan oleh itu tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Sejurus mendengar hukuman itu, tertuduh kelihatan tenang sambil berdiam diri namun sesekali menundukkan wajahnya ke lantai.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam, Darmin Achok.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil sepanjang kes itu dibicarakan.

Pada 24 April 2018, media melaporkan seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila leher hampir putus akibat ditetak kenalannya menggunakan parang 'barong'.

Serangan yang berlaku dalam kereta itu menyebabkan mangsa yang beralamat Kampung Tabanak, Jalan Silam, Lahad Datu, mati di tempat kejadian.

Turut cedera, adik ipar mangsa seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan beberapa jarinya putus akibat ditetak suspek terbabit.

ROBIN (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh. FOTO  Abdul Rahemang Taiming.
ROBIN (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh. FOTO Abdul Rahemang Taiming.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 12:09 PM