BENHAR (tengah) dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau selepas didapati bersalah mengedar dadah. FOTO Abdul Rahemang Taiming
BENHAR (tengah) dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau selepas didapati bersalah mengedar dadah. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar dadah methamphetamine seberat 52.13 gram, empat tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Benhar Hussin, 37, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terutama berkaitan identiti, pemilikan sebenar selain berat dadah adalah untuk tujuan pengedaran.

Lim berkata, selepas mendengar dan mempertimbangkan semua keterangan serta hujah daripada pihak pendakwaan dan peguam bela tertuduh, mahkamah mendapati tertuduh tidak dapat menyangkal atau menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan kes pendakwaan.

Katanya, mahkamah juga mendapati tiada sebarang merit terhadap pertikaian yang dikemukakan pihak pembelaan berhubung dakwaan tertuduh dikasari dan dipaksa mengaku sebagai pemilik dadah berkenaan.

"Dalam kes ini, tertuduh adalah pemandu kereta Proton Waja manakala hujah bahawa pemilik berdaftar tidak dipanggil sebagai saksi mempunyai asas dan adalah wajar selain tidak menimbulkan keraguan yang munasabah.

"Malah tertuduh sendiri juga memaklumkan kepada polis bahawa terdapat dadah di dalam kenderaannya. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk digantung sampai mati," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Benhar dituduh mengedar dadah methamphetamine seberat 52.13 gram yang ditemukan di dalam kereta Proton Waja nombor pendaftaran JGG 4923 di kawasan perkarangan tempat letak kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pada 8.30 malam, 14 Januari 2018.

Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain manakala peguam Victoria Chee mewakili tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 3:03 PM