NOTA ugutan yang ditaburi di halaman rumah ibu bapa Kor Ming. FOTO Muhamad Lokman Khairi
NOTA ugutan yang ditaburi di halaman rumah ibu bapa Kor Ming. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Ibu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meluahkan kebimbangan terhadap nota ugutan yang ditabur individu tidak dikenali di halaman rumahnya di Jalan Ling Sing Hang, Ayer Tawar di sini, hari ini.

Beliau yang berusia 76 tahun dan enggan namanya disiarkan memaklumkan menyedari kejadian itu ketika keluar mengambil akhbar di hadapan rumahnya pada 7.30 pagi.

Menurutnya, pada awalnya beliau menyangka ia hanya kertas kosong ditabur pihak tidak bertanggungjawab.

"Kira-kira 9.30 pagi saya keluar untuk menyapu kertas terbabit, ketika itulah saya sedar terdapat tulisan berwarna merah bertulis "Nga Kor Ming jangan cabar Islam.

"Ada kira-kira 40 helai kertas dan semuanya tertera nota yang sama. Oleh sebab risau dan takut jika berlaku perkara tak diingini, saya dan suami membuat laporan di Balai Polis Ayer Tawar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau dan suaminya yang berusia 86 tahun mahu kehidupan yang tenteram seperti orang lain dan berharap tidak dijadikan sasaran politik kebencian.

"Kami hidup secara low profile (tidak menonjolkan diri), kejadian seumpama ini turut pernah berlaku beberapa tahun lalu.

"Politik adalah politik, tolonglah jangan gunakan cara begini untuk ugut orang tua," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu Kor Ming berhubung kejadian itu pada 10.15 pagi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 3:46 PM