BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. FOTO Eizairi Shamsudin
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS akan memanggil bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta beberapa individu lain bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berbaur hasutan membabitkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka akan dipanggil bagi membantu satu lagi siasatan dibuka polis mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Katanya, polis sudah menghubungi Najib yang bersetuju untuk hadir dalam masa terdekat bagi dirakamkan keterangan.

"Mengenai isu kenyataan berbaur hasutan membabitkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, polis menerima dua laporan iaitu satu daripada pengawal peribadi baginda dan satu lagi daripada setiausaha sulit Nga Kor Ming.

"Menerusi laporan dibuat pengawal peribadi baginda, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan manakala bagi laporan dibuat setiausaha sulit Kor Ming, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 KK kerana melakukan fitnah," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyempurnakan majlis, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata, polis akan menggunakan Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah jika perlu sekiranya individu berkenaan enggan memberi kerjasama bagi membantu siasatan berkenaan.

Pada Selasa lalu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming hadir ke Bukit Aman bagi membantu siasatan mengikut akta hasutan.

Bagaimanapun, polis menangguh sesi merakam keterangan Kor Ming susulan beliau memaklumkan mempunyai tugas di Parlimen dan akan memanggilnya semula bagi diambil keterangan lanjut.

Pada 2 Oktober lalu Timbalan Ketua Polis Datuk Mazlan Mansor memaklumkan bahawa polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan susulan satu laporan dibuat terhadap pemilik akaun FB Nga Kor Ming Super Fans Page.

Pemilik akaun FB itu mengeluarkan status menghasut pengikutnya untuk melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor susulan penggunaan papan tanda dwi bahasa.

Katanya, laporan itu dibuat pada 1 Oktober oleh pengawal peribadi Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 10:00 AM