BOMBA membantu membawa keluar mayat berkenaan. FOTO Ihsan Bomba.
BOMBA membantu membawa keluar mayat berkenaan. FOTO Ihsan Bomba.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Mayat tanpa identiti dan mereput ditemukan di anak sungai di Batu 3½ Jalan Maharajalela di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan penemuan itu dibuat orang awam melalui panggilan kecemasan pada 12.05 tengah hari.

"Siasatan awal polis mendapati, si mati ditemukan tersangkut di batang kayu yang melintang di anak sungai tanpa berpakaian dan tiada sebarang pengenalan diri pada mangsa.

"Keadaan si mati sangat teruk dengan terdapat banyak bahagian tubuh yang dimakan oleh biawak dan bahagian muka si mati sudah tidak sempurna.

"Mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan dan hasil bedah siasat pada pagi semalam, mendapati punca kematian adalah disebabkan Unascertained (Decomposition) atau tidak dapat dipastikan kerana mayat sudah reput," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya segera menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

"Orang ramai juga menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di talian 05-6233969 bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 9:13 AM