Keadaan Toyota Alphard terbalik selepas pemandunya diserang sawan. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan Toyota Alphard terbalik selepas pemandunya diserang sawan. FOTO Ihsan PDRM
Oleh Alias Abd Rani


Batu Pahat: Seorang lelaki maut manakala enam, termasuk seorang bayi cedera, apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard terbabas dan terbalik selepas pemandunya diserang sawan, dalam kemalangan di Kilometer 112.6, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Yong Peng, malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku jam 8 malam menyebabkan pemandunya, Ng Chee Keong, 40, maut di lokasi akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan itu berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke rumah mereka di Endau, Mersing.

Menurutnya, apabila di lokasi pemandunya diserang sawan menyebabkan MPV dipandunya terbabas ke bahu jalan lalu terbalik.

"Insiden itu mengakibatkan pemandunya maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

"Enam penumpang termasuk isterinya berusia 31 tahun, ibu mentua berumur 55 tahun serta empat anaknya berusia tujuh bulan hingga 14 tahun, cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 4:01 PM