KERETA yang merempuh masuk ke dalam HPSF selepas pemandunya diserang sawan, malam tadi. FOTO Alias Abd Rani
KERETA yang merempuh masuk ke dalam HPSF selepas pemandunya diserang sawan, malam tadi. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan pihaknya sudah membuat laporan polis susulan insiden sebuah kereta merempuh koridor utama Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, malam tadi.

Pengarah JKNJ, Dr Mohtar Pungut berkata, laporan polis dibuat oleh pengurusan HPSF pada hari sama kejadian yang menyebabkan pemandu dan penumpang kereta terbabit cedera.

Justeru, beliau berkata, ketika ini, pihak pengurusan menyerahkan pada polis untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

"Koridor terbabit sudah dibuka semula dan kemalangan itu tidak menjejaskan fungsi utama kawasan terbabit.

"Pihak pengurusan HPSF kini dalam proses menilai kerosakan dialami serta kos bagi membaik pulih kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohtar berkata, insiden itu tidak membabitkan orang awam, pesakit ataupun kakitangan hospital itu.

"JKNJ mengesahkan kemalangan berlaku kira-kira jam 10 malam, 7 Jun membabitkan sebuah Proton Saga putih yang secara tiba-tiba merempuh masuk ke koridor utama HPSF.

"Kedua-dua mangsa (pemandu dan penumpang) dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital sama, dan disahkan dalam keadaan stabil.

"Pemandunya dimasukkan ke wad untuk pemerhatian manakala penumpang hanya cedera ringan dan dibenarkan keluar selepas menerima rawatan," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati, pemandu berusia 30 tahun itu mempunyai sejarah diserang sawan sebelum ini.

Katanya, pemandu dan penumpang lelaki berusia 28 tahun adalah pekerja syarikat pembekalan alatan perubatan ortopedik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menghantar bekalan ke HPSF.

"Sebaik tiba dalam kawasan HPSF, pemandunya dipercayai diserang sawan menyebabkan hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan jabatan X-ray terbabit.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 3:59 PM