ANGGOTA bomba memeriksa kereta Proton Persona yang terbabas selepas pemandunya diserang sawan. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memeriksa kereta Proton Persona yang terbabas selepas pemandunya diserang sawan. FOTO Ihsan Bomba
Ali Iqbal


Muar: Tindakan pantas orang ramai memecah pintu kereta menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap selepas kenderaan dipandunya terbabas dipercayai diserang sawan di Parit Perupuk, Jalan Abdul Rahman, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, mangsa berusia 50 tahun cedera ringan selepas kereta Proton Persona dipandu merempuh tiang lampu.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa berseorangan dalam perjalanan ke bandar ini sebelum diserang sawan, menyebabkan kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Muar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.51 pagi.

"Sebaik tiba kira-kira 10 minit kemudian, mangsa sudah dikeluarkan orang ramai yang melalui lokasi kejadian.

"Sebelum itu, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan terperangkap dalam keretanya," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut dengan operasi menyelamat tamat pada 12.20 tengah hari

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:48 PM