ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat di lokasi kemalangan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan kerja menyelamat di lokasi kemalangan. FOTO ihsan bomba
Mohd Sabran Md Sani


DUA maut manakala dua lagi cedera selepas dua lori bertembung di Jalan Pagoh-Parit Sulong, Batu Pahat, hari ini.

Kejadian 6.50 pagi itu mengakibatkan pemandu lori Scania, Muhamad Saiful Mohd Jemain, 31, dan pemandu lori ais, Tio Lian Seng, 46, maut di tempat kejadian.

Kelindan lori Scania, Mazlan Mohd Mokhtar, 37, patah tangan kiri manakala kelindan lori ais warga Bangladesh yang tidak diketahui identitinya lagi turut cedera.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Mohd Nazri Aziz berkata, empat anggota bomba bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan dua lori jenis Scania bawa ikan dengan sebuah lori ais.

“Lori ikan dari arah Pagoh ke Yong Peng, manakala lori ais dari arah bertentangan,” katanya.

Katanya, kedua-dua lori bertembung di selekoh sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Terdapat dua mangsa maut dua yang lain mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 10:17 AM